Spring adalah sebuah kumpulan rock Malaysia yang pernah aktif sekitar akhir 80an hingga awal 2000an. Kumpulan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan diterajui oleh penyanyinya, Ameng yang berasal dari Besut, Terengganu ini menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.
Spring mula meniti puncak populariti apabila single daripada album kedua mereka yang berjudul Sampai Hati telah merajai carta muzik Malaysia pada tahun 1993. Setelah itu, Spring melahirkan lebih banyak lagu hits seperti Bourgenvilla, Persada Cintaku, Butakah Cinta, dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta. Menerusi lapan album studio dan beberapa album kompilasi, kumpulan ini berjaya menjual lebih 500,000 unit secara keseluruhannya dan menjadi salah satu dari artis Malaysia yang merekodkan jualan album terbanyak dalam sejarah. Kumpulan ini pernah meraih anugerah Kumpulan Muzik Paling Popular 1994 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian.